Thursday 12 November 2015

Azmin Cagar Tanah Rakyat Buat Pinjaman Bank DEIG.


SHAH ALAM: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) belum memutuskan sama ada perlu menjalankan siasatan ke atas Darul Ehsan Investment Group (DEIG), terutama membabitkan tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada salah sebuah anak syarikat kumpulan itu.
Pengerusi SELCAT Hannah Yeoh berkata pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu bersama anggota jawatankuasa SELCAT sebelum membuat sebarang keputusan.
"Saya akan berbincang dengan anggota jawatankuasa SELCAT yang lain sama ada perlu menjalankan siasatan ke atas isu itu atau tidak. Perbincangan akan dibuat selepas tamat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat ini," katanya kepada pemberita di lobi DUN, di sini Rabu.
Beliau diminta mengulas gesaan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 November lepas, yang mahu SELCAT menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu DEIG terutama melibatkan dakwaan tawaran pinjaman itu.
Abdul Khalid dilaporkan berkata dalam siasatan itu, SELCAT mesti mengesahkan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran, meskipun DEIG mengaku kewujudan tawaran pinjaman itu yang kemudiannya ditolak.
Pada Rabu lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang dari Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi dalam satu sidang media menuntut Menteri Besar Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan berhubung tindakan DEIG menerusi anak syarikatnya, DEIG Land Sdn Bhd (DEIG Land) yang didakwa menerima tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta daripada sebuah bank tempatan.
Budiman mendakwa pinjaman itu untuk mengambil alih dan melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berjumlah RM424.7 juta.
ADUN Sungai Panjang itu juga mendakwa pinjaman berkenaan dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah yang melebihi jumlah pinjaman.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi DEIG Soffian Affendi Aminuddin dilaporkan mengakui pernah memohon kepada bank untuk pinjaman itu dan menerima tawaran pinjaman berkenaan.
Bagaimanapun, Soffian Affendi berkata cadangan tawaran itu tidak diluluskan di peringkat lembaga pengarah syarikat DEIG. 
- BERNAMA
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment