Monday 9 November 2015

G25 Tolak Pelawaan Mahathir Untuk Jatuhkan Najib Razak.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan kumpulan tokoh Melayu profesional atau G25 bagi mendapatkan sokongan mereka dalam mengganti kepimpinan negara.
Perkara tersebut didedahkan seorang ahli dalam kumpulan tersebut.
Tawfik Ismail, yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman berkata G25 bertemu dua pemimpin itu secara berasingan dengan topik menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dibangkitkan.
Katanya, kumpulan tersebut bagaimanapun enggan terlibat kerana mengambil sikap 'non-partisan' dan tidak diyakinkan bahawa pertukaran Najib akan memulihkan lagi keadaan.
"Kami pertama kali bertemu dengan Dr Mahathir awal tahun ini untuk membincangkan mengenai Islam dan perlembagaan apabila beliau menyentuh isu perubahan dalam kepimpinan.
"Saya membalas dengan berkata: apa yang membuatkan beliau terfikir menggantikan Najib boleh membawa kebaikan? Pada waktu itu, Muhyiddin masih lagi Timbalan Perdana Menteri," katanya kepada The Star Online pada Ahad.
Tawfik berkata konfrontasi berlaku di kalangan mereka pada pertemuan itu apabila Dr Mahathir mengkritik Najib mengenai penglibatannya dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mendorong beliau menunjukkan kegagalan bekas perdana menteri itu.
Beliau turut mendedahkan satu mesyuarat berlaku bersama Muhyiddin pada Oktober, tiga bulan selepas bekas timbalan perdana menteri itu digugurkan dari Kabinet.
"Ia mesyuarat pertama kami dengan Muhyiddin dan terdapat 12 daripada ahli kami (G25) di sana. Beliau bertanya kepada kami bagaimana dapat membantu 'pergerakan' yang boleh disertai G25.
"Kami beritahu beliau bahawa kami tidak fikir beliau dan Dr Mahathir adalah individu yang sesuai untuk menentang Najib kerana mereka membawa bagasi bersama.
"Dari segi kredibiliti, bagaimana mereka boleh menggambarkan diri mereka untuk menjadi lebih baik?," kata Tawfik.
Beliau berkata kumpulan tersebut bertemu dengan Dr Mahathir buat kali kedua pada petang 12 Oktober selepas bekas perdana menteri itu mengadakan sidang akhbar dengan beberapa veteran Barisan Nasional (BN) termasuk Muhyiddin untuk membidas penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap pengkritik politik.
"Empat daripada kami menghadiri mesyuarat itu di mana Dr Mahathir bertanya sekiranya G25 bersedia untuk membuat kenyataan bersama dengan sekumpulan masyarakat Cina untuk bercakap mengenai kebimbangan terhadap keyakinan dalam perniagaan dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Kami berkata tidak mahu menjadikan ia perkara bersifat perkauman - di mana sekumpulan Melayu dan Cina bergabung. Bagaimana pula dengan kaum lain?," soalnya.
Tawfik berkata sebaliknya G25 mencadangkan membawa Malaysia Timur dan mendekati isu ini sebagai kuasa negara serta meneroka idea majlis perundingan negara yang diilhamkan adik Najib, Datuk Seri Nazir Razak.
Katanya, G25 masih menganggap Najib sebagai individu terbaik untuk memimpin negara kerana beliau adalah seorang yang bersederhana secara semula jadi.
"Perdana Menteri dalam bahaya sekarang kerana elemen sayap kanan dalam kalangan Umno, dan mereka adalah orang yang menyekat pendirian bersederhana beliau," katanya.
Bagaimanapun, kem Muhyiddin dan Dr Mahathir tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen mengenai perkara ini.
-mstar
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment