Wednesday 11 November 2015

Vape Meletup, Pengguna Kena 6 Jahitan Mulut

10 NOV : “Saya dan saudara terdekat sudah tidak lagi menghisap vape selepas kejadian vape meletup hingga terpaksa menerima enam jahitan.” Itu kata Salleh Awang Hat, 33, pengguna vape yang terpaksa menderita kesakitan dan menerima enam jahitan di bibir selepas alat itu meletup ketika hendak disedut, Khamis lalu. 


Salleh yang juga dikenali sebagai Lan berkata, dalam kejadian jam 9 malam di Gopeng, Perak Khamis lalu, dia menghidupkan vape untuk disedut namun peranti itu meletup sebelum sampai ke bibir. “Vape itu meletup dan hujung vape (bahagian penyedut) itu tercabut ibarat peluru ditembak tetapi mujur tidak kena pada muka. Hanya belerang yang meletup dan terbakar di muka dan bibir saya. “Nasib saya baik kerana belum sempat menyedutnya kalau tak ibarat meletak pistol ke dalam mulut. 

Saya juga bersyukur kerana tidak buta,” katanya menambah bahawa insiden itu terjadi selepas sehari beliau menimang cahaya mata pertama. Menurutnya, beliau tidak membuat sebarang pengubahsuaian pada vape dan alat itu bukan dibeli dengan harga murah. “Saya sudah lama memakai vape itu memang tiada masalah sebelum ini. Saya sendiri tidak tahu apa punca sebenar ia meletup tapi saya difahamkan ia mungkin berpunca daripada bateri,” katanya. 

 Insiden letupan vape membabitkan Lan itu viral di laman sosial malah mengundang pelbagai kritikan. “Saya harap komen di laman sosial tidak membuat andaian sendiri dan mengaibkan saya kerana ia memaparkan gambar saya yang turut dikenali oleh saudara dan rakan. 

Saya harap orang ramai faham dengan situasi saya,” katanya yang turut menasihatkan pengguna vape supaya lebih berhati-hati meneliti komponen vape sebelum menggunakannya.

-bnbbc
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment