Thursday 29 October 2015

Isu Balak Kelantan. Husam Dan Menantu Hadi Perang Besar Di Facebook.

Bekas exco Kelantan Datuk Husam Musa dan menantu presiden PAS Zaharudin Muhammad menjadikan laman sosial sebagai medan perang terbuka mereka berkenaan isu pembalakan di negeri itu.
Husam yang juga adalah ADUN Salor mendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri hari ini yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang dari konsep ketelusan.
Zaharudin pula melalui posting Facebook menuduh anak didik bekas Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat itu cuba menjatuhkan kerajaan negeri Kelantan.
“Demi Allah! saya akan lawan Husam selepas ini demi selamatkan Kelantan. Cukup saya melihat Kedah dijatuhkan oleh puak-puak Phahrolrazi dengan fitnahnya.
“Saya menyeru rakyat Kelantan bersama-sama mempertahankan Kelantan,” tulisnya.
Zaharuddin merujuk kepada kekalahan PAS yang kehilangan negeri Kedah pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Sebelum kejatuhan itu, Datuk Phahrolrazi Zawawi yang adalah Timbalahn Pesuruhjaya PAS Kedah membidas pentadbiran Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.
Penyokong Azizan mendakwa ia sebagai komplot Pharolrazi untuk mengguling menteri besar.

Zaharudin dalam posting di Facebook hari ini berkata, perkara yang sama boleh berlaku di Kelantan.

Ia berikutan bidasan sengit Husam berhubung tindakan kerajaan negeri yang memberikan permit pembalakkan di negeri itu.
‘Robin Hood Kelantan'
Malah, Husam juga menuntut kerajaan negeri supaya tidak meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk menebang kawasan seluas 1,400 hektar di hutan simpan Kekal Ulu Sat di Machang.
Bagaimanapun, Zaharudin memulakan serangannya dengan memuat naik status ‘Robin Hood Kelantan’ yang didakwanya seronok mengganggu isi rumah miskin.
Selepas itu siri serangan daripada Zaharudin terhadap Husam menyentuh laporan rasuah daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung kewujudan aktiviti penerokaan tanah dan pembalakan haram di negeri itu.
Husam yang juga bekas naib presiden PAS itu bagaimanapun tidak duduk diam dengan serangan berterusan yang dibuat oleh Zaharudin.
Beliau seterusnya mengemukakan hujah mengapa PAS kalah di Kelantan.
“Watak Zaharudin Muhammad Jatuhkan PAS Terengganu? Zaharuddin Muhammad nampaknya galak menulis sehari dua ini, nak pertahankan Kelantan dari jatuh.
“Caranya dengan menyerang saya. Jika dunia ilmiah dipilih, saya bersedia mengemukakan hujah saya mengapa PAS kalah di Kedah, dalam mana-mana seminar.

“Sebahagian darinya pernah saya kemukakan kepada Lajnah Politik PAS Pusat enam atau tujuh bulan sebelum kekalahan itu,” tulis Husam.
Husam turut mengancam Zaharudin bahawa beliau tidak teragak-agak mengheretnya ke mahkamah.
“Ada pun ayat ayat dalam tulisan Zaharudin berbentuk ugutan dan unsur fitnah, saya telah pun mengarahkan peguam mengambil tindakan,” kata Husam.
Zaharuddin bagaimanapun memuat status terbarunya dengan menjemput Husam ke Kuala Lumpur pada 21 November depan bagi membincangkan mengenai kekalahan PAS di Kedah dan Terengganu.
Malah beliau turut mengalukan sekiranya Husam ingin membawa peguam bersamanya.
“Insyallah, 21 november saya menjemput Husam datang ke Kuala Lumpur, jam 10 pagi di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM). Kita dialog isu post mortem kekalahan Kedah dan Terengganu.
“Bersama saya ada peguam-peguam dan lebih penting kebenaran juga bersama-sama saya kalau Husam nak bawa ke Mahkamah.” katanya.

-msiakini
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment