Saturday 14 November 2015

Arul Kanda Sedia Bagi Penerangan Pada Rafizi Ramli.


Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata dia bersedia memberi penerangan mengenai agensi pelaburan milik kerajaan yang dibebani hutang itu kepada sesiapa yang berminat, termasuk Setiausaha Agung PKR, Rafizi Rami dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.
"Kami (1MDB) akan berjumpa dengan sesiapa saja yang mahu memahami lebih lanjut (tentang syarikat berkenaan), termasuk Rafizi dan Pua," katanya di seminar di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.
Program itu diadakan untuk memberi penjelasan mengenai Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) serta Bajet 2016.
Arul Kanda berkata demikian sebagai tidak balas daripada cadangan seorang ahli Umno dalam sesi soal jawab.
Kata peserta itu, Arul Kanda patut menjemput ahli politik pembangkang yang kelihatan masih belum memahami isu 1MDB.

-msiakini

Thursday 12 November 2015

Tadika Di Malaysia Menyamar Untuk Sebarkan Dakyah Kristian.

IMG_20151111_092910

GOMBAK, Rabu – Bukit Aman mendedahkan terdapat penyebar dakyah Kristian yang menyamar seperti orang Muslim untuk mempengaruhi umat Islam di negara ini mengikut agama itu.
Pendedahan itu dibuat oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Awaluddin Jadid, semalam.
Beliau turut mendedahkan sekarang ini banyak tadika yang namanya kelihatan seperti Islam, tetapi secara realitinya bertujuan menyebarkan dakyah Kristian.
Berucap pada Seminar Pendedahan Ancaman Rencana Kristianisasi (SPARK) di Gombak, beliau berkata, tindakan menyembunyikan identiti mereka yang sebenar oleh penyebar dakyah Kristian menjadi satu ancaman utama kepada umat Islam di negara ini.
Beliau berkata, cara mereka menjalankan gerakan itu ternyata memberi kekeliruan kepada umat Islam dengan watak penyamaran yang menyerupai seorang Muslim sejati.
“Banyak modus operandi yang mereka gunakan contohnya memberi makanan, bantuan khidmat bencana alam, bantuan mulakan perniagaan, kewangan, sukan dan pendidikan percuma.
“Sekarang pun banyak tadika yang wujud adalah sumbangan daripada gereja untuk mereka sebarkan dakyah Kristian kepada kanak-kanak.
“Ia menjadi kebimbangan kepada kita sebab nama Tadika nampak Islam tapi realitinya tidak,” katanya.
Mengulas lanjut Awaluddin berkata, dianggarkan antara 300 sehingga 500 individu yang murtad masih aktif di negara ini.
“Apa yang paling membimbangkan ialah identiti mereka yang mengamalkan cara hidup liberal yang boleh mengelirukan kita,” katanya.
Beliau turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama- sama merangka satu tindakan susulan bagi menghalang gerakan Kristianisasi di negara ini.
“Kebanyakan NGO gemar adakan demonstrasi atau bantahan bagi menentang sesuatu, tetapi tindakan itu tidak beri penyelesaian masalah.
“Lebih baik NGO berbincang dan berfikir apa tindakan susulan yang boleh menghalang masalah ini daripada terus serius,” katanya.

-ismaweb

Azmin Cagar Tanah Rakyat Buat Pinjaman Bank DEIG.


SHAH ALAM: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) belum memutuskan sama ada perlu menjalankan siasatan ke atas Darul Ehsan Investment Group (DEIG), terutama membabitkan tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada salah sebuah anak syarikat kumpulan itu.
Pengerusi SELCAT Hannah Yeoh berkata pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu bersama anggota jawatankuasa SELCAT sebelum membuat sebarang keputusan.
"Saya akan berbincang dengan anggota jawatankuasa SELCAT yang lain sama ada perlu menjalankan siasatan ke atas isu itu atau tidak. Perbincangan akan dibuat selepas tamat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat ini," katanya kepada pemberita di lobi DUN, di sini Rabu.
Beliau diminta mengulas gesaan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 November lepas, yang mahu SELCAT menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu DEIG terutama melibatkan dakwaan tawaran pinjaman itu.
Abdul Khalid dilaporkan berkata dalam siasatan itu, SELCAT mesti mengesahkan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran, meskipun DEIG mengaku kewujudan tawaran pinjaman itu yang kemudiannya ditolak.
Pada Rabu lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang dari Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi dalam satu sidang media menuntut Menteri Besar Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan berhubung tindakan DEIG menerusi anak syarikatnya, DEIG Land Sdn Bhd (DEIG Land) yang didakwa menerima tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta daripada sebuah bank tempatan.
Budiman mendakwa pinjaman itu untuk mengambil alih dan melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berjumlah RM424.7 juta.
ADUN Sungai Panjang itu juga mendakwa pinjaman berkenaan dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah yang melebihi jumlah pinjaman.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi DEIG Soffian Affendi Aminuddin dilaporkan mengakui pernah memohon kepada bank untuk pinjaman itu dan menerima tawaran pinjaman berkenaan.
Bagaimanapun, Soffian Affendi berkata cadangan tawaran itu tidak diluluskan di peringkat lembaga pengarah syarikat DEIG. 
- BERNAMA

Wednesday 11 November 2015

Intai Gadis Sambil Melancap, Remaja Ditahan Polis.

Gambar hiasan
Seorang remaja lelaki yang dirakam mengintai seorang gadis sambil melancap di belakang sebuah rumah di Pandan Indah, Sabtu lalu, ditahan polis, malam semalam.
Perbuatan tidak senonoh pelajar kolej berusia 19 tahun yang dirakam dalam keadaan berbogel oleh kamera litar tertutup (CCTV) rumah berkenaan, kemudian dimuat naik ke laman sosial serta menjadi 'viral'.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata remaja yang juga jiran gadis berkenaan berjaya ditahan kira-kira 10.30 malam.
"Soal siasat ke atas suspek dilakukan dan dia mengakui melakukan perbuatan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.
Khairuldin berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan iaitu perbuatan melakukan kelucahan melampau.
Berdasarkan rakaman video berkenaan, suspek dilihat mengintai gadis berkenaan melalui tingkap belakang rumah mangsa.
- Bernama

Komen Biadap, AC Mizal Dan M.Nasir Perlu Minta Maaf.

PETALING JAYA: Penyanyi Bienda menuntut pihak juri program realiti Gegar Vaganza 2 memohon maaf secara terbuka atas tindakan mereka yang mengaibkan ibunya, Sheeda dalam konsert minggu keempat, malam Ahad lalu.
Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 30, berkata, komen yang diberikan oleh juri selepas persembahan itu disifatkan menjatuhkan maruah ibu dan keluarga mereka.
“Saya sangat terkejut dan kecewa mendengar komen yang diberikan, kalau ikutkan hati saya ingin sahaja menjerit kepada juri itu, tetapi fikirkan semula ia perkara yang tidak rasional.
“Tapi ia sangat keterlaluan dan mengaibkan ibu saya. Kenapa perlu persoalkan tentang umur dan rupa paras sedangkan ia adalah pertandingan nyanyian,” ujarnya kepada mStar Online, di sini, Selasa.
Bienda berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pandangannya terhadap komen yang diberikan oleh juri jemputan iaitu Datuk M Nasir dan Datuk AC Mizal yang disifatkan telah memperlekehkan persembahan ibunya iaitu Sheeda.
Sheeda membawakan lagu Tiada Lagi bersama penyanyi Aweera dalam konsert ketiga program Gegar Vaganza 2 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad lalu.
Antara komen M Nasir iaitu “putera mencari princess tapi rupa-rupanya terjumpa dengan emak princess” dialog menjurus kepada memperlekehkan usia Sheeda yang mahu berlakon sebagai puteri raja.
Dalam pada itu, Bienda berkata, sebagai anak, sudah pasti dia terasa dan sedih apabila usaha ibunya untuk memasuki pertandingan tersebut tidak dihargai.
“Saya boleh katakan komen itu sebagai kurang ajar kerana mereka tiada rasa hormat kepada ibu saya yang bersusah payah memasuki pertandingan itu.
“Ia bukan sesuatu yang senang untuk dia bawa lagu-lagu yang bukan genre dangdut. Saya yakin lepas ini ramai artis yang takut untuk sertai pertandingan kerana komen yang diberikan bersifat menghentam peserta,” ujarnya.
Sementara itu, Bienda turut meminta orang ramai agar tidak terus menghina ibunya di laman sosial terutama di Instagram.
Katanya, perkara tersebut akan membuatkan ibunya bertambah sedih dan rasa hilang keyakinan diri.
“Saya tidak faham orang yang sering menhentam ibu saya di laman sosial, mereka fikir mereka sudah terlalu baik untuk berkata demikian.
“Saya tahu ibu saya bukan sedih tapi bukan kerana dia disingkirkan tetapi disebabkan komen dan ejekan yang keterlaluan pengguna laman sosial,” ujarnya.
Gegar Vaganza 2 bersiaran secara langsung di MBSA, setiap Ahad bermula 9 malam dan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
-mStar

ADUN Belia Perak, Satu Platform Baru Suara Belia.


BATU GAJAH: Seramai 72 orang golongan belia berumur diantara 16 tahun hingga 30 tahun berkumpul di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM) Batu Gajah untuk menjalani Kem Pemilihan dan Temuduga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Perak Sesi 1 2016/2017 selama tiga hari.


Belia yang terpilih terdiri daripada beberapa kumpulan seperti pelajar sekolah, belia bekerjaya, belia pinggir (orang asli dan Orang Kelainan Upaya atau OKU) dan antarabangsa.


Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Shahrul Zaman Yahaya berkata, kerajaan negeri Perak sentiasa mencuba untuk mengetengahkan golongan belia sedia ada untuk menjadi ADUN Belia.

"Ianya merupakan platform yang diberikan oleh kerajaan negeri kepada golongan belia yang tinggi dan sebaik mungkin untuk mewakili suara lebih daripada 90,000 belia di Perak.


"Ini kerana belia adalah golongan pentkng untuk memastikan kesinambungan dan kepimpinan negeri Perak khususnya, dan Negara amnya,"katanya ketika berucap dalam lawatannya bertemu dengan para peserta, malam tadi.

Katanya lagi, beliau turut mengharapkan mereka yang terpilih dapat mengetengahkan suara dan kehendak golongan belia.


"Ini amat penting. Kerana saya mahu kamu (peserta) fokus pada pembangunan dan masa depan belia supaya terus ke hadapan.

"Kita ingin mencari kualiti seorang pemimpin yang bakal menjadi pemimpin negeri di masa akan datang,"ujarnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Hasnul Fairuz berkata, kem yang sama akan diadakan sekali lagi pada awal November ini.

"Kita akan pilih mereka yang betul-betul mempunyai bakat kepimpinan untuk menjadi ADUN Belia.

"Peserta akan ditemuduga oleh mereka yang terlibat secara langsung dengan belia,"katanya.

Ujarnya lagi, antara pengisian program sepanjang kem tiga hari tersebut ialah menggilap bakat kepimpinan, kewibawaan dan pengucapan awam. 

-peraksilveryouth

AMANAH Sedia Ganti PAS di Kelantan.


PASIR MAS: Parti Amanah Negara (Amanah) bersedia menggantikan PAS mentadbir kerajaan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Presidennya Mohamad Sabu.


Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata langkah itu diambil bagi "menyelamatkan" kerajaan Islam yang ditubuhkan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Bagaimanapun, kita lihat dulu sokongan (yang diterima Amanah). Kalau sambutan dan sokongan itu begitu hebat, kita akan bincang pada waktu itu (untuk bertanding di Kelantan)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan ceramah di Kampung Padang Embun di sini, malam Isnin.

Mat Sabu berkata pada masa ini, Amanah akan memberi fokus kepada penambahan anggota di seluruh negara dan belum membincangkan secara lanjut mengenai kerusi yang akan ditandingi parti itu dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

"Sekarang hal PRU14 kita tak bincang lagi di negeri atau tempat mana, melainkan (Pilihan Raya Negeri) di Sarawak... kami akan cubalah untuk dapatkan kerusi bertanding di sana," katanya.

-mstar

Vape Meletup, Pengguna Kena 6 Jahitan Mulut

10 NOV : “Saya dan saudara terdekat sudah tidak lagi menghisap vape selepas kejadian vape meletup hingga terpaksa menerima enam jahitan.” Itu kata Salleh Awang Hat, 33, pengguna vape yang terpaksa menderita kesakitan dan menerima enam jahitan di bibir selepas alat itu meletup ketika hendak disedut, Khamis lalu. 


Salleh yang juga dikenali sebagai Lan berkata, dalam kejadian jam 9 malam di Gopeng, Perak Khamis lalu, dia menghidupkan vape untuk disedut namun peranti itu meletup sebelum sampai ke bibir. “Vape itu meletup dan hujung vape (bahagian penyedut) itu tercabut ibarat peluru ditembak tetapi mujur tidak kena pada muka. Hanya belerang yang meletup dan terbakar di muka dan bibir saya. “Nasib saya baik kerana belum sempat menyedutnya kalau tak ibarat meletak pistol ke dalam mulut. 

Saya juga bersyukur kerana tidak buta,” katanya menambah bahawa insiden itu terjadi selepas sehari beliau menimang cahaya mata pertama. Menurutnya, beliau tidak membuat sebarang pengubahsuaian pada vape dan alat itu bukan dibeli dengan harga murah. “Saya sudah lama memakai vape itu memang tiada masalah sebelum ini. Saya sendiri tidak tahu apa punca sebenar ia meletup tapi saya difahamkan ia mungkin berpunca daripada bateri,” katanya. 

 Insiden letupan vape membabitkan Lan itu viral di laman sosial malah mengundang pelbagai kritikan. “Saya harap komen di laman sosial tidak membuat andaian sendiri dan mengaibkan saya kerana ia memaparkan gambar saya yang turut dikenali oleh saudara dan rakan. 

Saya harap orang ramai faham dengan situasi saya,” katanya yang turut menasihatkan pengguna vape supaya lebih berhati-hati meneliti komponen vape sebelum menggunakannya.

-bnbbc

Monday 9 November 2015

Cina India Adalah Pendatang -PERKASA

Suka atau tidak, orang Cina dan India di negara ini asalnya “pendatang” di negara ini, kata kumpulan pendesak Melayu PERKASA.
Ketua penerangan kumpulan itu, Hassan Basri Muhammad berkata demikian mengulas permintaan MIC supaya penggunaan perkataan pendatang diharamkan.
“Apabila presiden MIC meminta supaya kerajaan mengharamkan perkataan 'pendatang' yang kononnya mengguris hati bangsa Cina dan India jelas menunjukkan betapa dangkalnya beliau dan mereka cuba hendak mengubah sejarah 'pendatang," kata Hassan.
Dalam kenyataan hari ini, Hassan juga mengingatkan bahawa sejarah akan sentiasa kekal sebagai sejarah.
Presiden MIC Datuk S Subramaniam dalam ucapannya dalam Perhimpunan Agung MIC ke-67 menggesa kerajaan mengharamkan penggunaan perkataan itu kerana ia mengguris hati kaum Cina dan India.
Mengulas isu itu, Hassan percaya ia timbul kerana ada sesetengah pihak daripada kalangan orang Cina dan India “cuba untuk menjadi jaguh”.
Ia sekali gus didakwa mencabar dan mempertikaikan Perlembagaan Negara.
“Tindakan biadab mereka ini tersangat mengguris perasaan orang-orang Melayu Islam,” kata Hassan.
Jelas Hassan, perkara itu berbeza dengan cara orang Melayu yang tidak pernah mempersoalkan hak-hak mereka mengamalkan kepercayaan dan menyambut perayaan secara terbuka.
Hassan juga berkata, isu pendatang itu tidak akan timbul jika semua kaum dan penganut agama alain melindungi hak-hak mereka sendiri dan tidak mempersoalkan hak orang lain.
"Tiada apa yang salah dengan istilah pendatang.
"Kami mencadangkan supaya subjek sejarah 'pendatang' ini lebih ditekankan di sekolah beraliran Cina dan India supaya anak-anak ini tidak disemai kebencian seperti manusia bernama Alvin Tan yang berterusan menghina Islam dan Melayu," katanya.

-msiakini

Mukhriz Mahathir Sedia Letak Jawatan Menteri Besar Kedah.

ALOR SETAR - Datuk Seri Mukhriz Mahathir sedia mengundurkan diri dari jawatan Menteri Besar Kedah dan menyerahkan kepada mana-mana pemimpin tempatan yang dirasakan lebih popular dan mampu menyakinkan rakyat menjelang PRU14.

Mukhriz sedia undur diri

Beliau berkata, hal itu akan berlaku sekiranya rakyat di negeri ini sudah tidak lagi menyokongnya.

"Namun jika rakyat dirasakan masih bersama saya, mohon semua pihak memberi kerjasama dalam pentadbiran saya untuk memastikan kita tetap mentadbir negeri ini hingga selepas PRU14 nanti," katanya kepada media di majlis anugerah Pingat Jasa Pahlawan Negara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Hadir sama,Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.

Beliau berkata,  saf (kepimpinan) perlu dirapatkan supaya apa sahaja yang dilakukan di peringkat negeri atau pusat mendapat sokongan semua pihak termasuk adun dan parlimen.

Beliau yang juga Pengerusi Umno Kedah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai viral yang dimuat naik oleh pemilik akaun Edisi Siasat yang menyebut 'Alhamdulillah YAB DS MM sedia berundur sebagai MB Kedah demi kelangsungan Umno'.


Perkara itu mula menjadi viral di laman Facebook selepas beliau menghadiri perjumpaan tertutup bersama pimpinan Umno Kedah dan Umno Pusat di Dewan Seri Mentaloon kelmarin.

Mengenai perjumpaan itu, Mukhriz menyatakan sokongan penuh terhadap apa sekalipun keputusan dibuat kepimpinan pusat.

Sementara itu, 300 bekas polis menerima Pingat Jasa Pahlawan sebagai menghargai pengorbanan mereka selama ini yang tidak pernah dilupakan kerajaan.

-sinar harian

Rafidah Aziz Setuju Vape Diharamkan.


PETALING JAYA: Kerajaan perlu bertindak segera mengharamkan vape sebelum golongan remaja menjadi penagih nikotin, kata bekas menteri kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz.

Rafidah melahirkan kebimbangannya mengenai kemungkinan vape akan menjadi satu tabiat baharu di kalangan belia di Malaysia.


Menerusi posting di Facebook, Rafidah menulis bahawa penagih nikotin akan bertambah kerana cecair vape mengandungi nikotin.

"Kita perlu membentuk pemikiran positif dan progresif di kalangan golongan muda. Bebaskan daripada kekangan sebarang bentuk ketagihan," kata Rafidah yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri.

Beliau berkata, sebarang bentuk ketagihan mempunyai potensi untuk 'melemahkan tenaga' atau menjejaskan kesihatan.

"Kabinet mesti bertindak segera sebelum masalah ini berleluasa.

"Ini adalah isu berkaitan kesihatan dan kerajaan tak perlu mempolitikkan dan 'bermain politik' dengan isu-isu kesihatan," kata Rafidah.

Rafidah berkata sikap mengabaikan kesan kesihatan terhadap bahaya merokok dan vape adalah "sama seperti tidak berhati perut".

-mstar

G25 Tolak Pelawaan Mahathir Untuk Jatuhkan Najib Razak.

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bertemu dengan kumpulan tokoh Melayu profesional atau G25 bagi mendapatkan sokongan mereka dalam mengganti kepimpinan negara.
Perkara tersebut didedahkan seorang ahli dalam kumpulan tersebut.
Tawfik Ismail, yang juga anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman berkata G25 bertemu dua pemimpin itu secara berasingan dengan topik menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah dibangkitkan.
Katanya, kumpulan tersebut bagaimanapun enggan terlibat kerana mengambil sikap 'non-partisan' dan tidak diyakinkan bahawa pertukaran Najib akan memulihkan lagi keadaan.
"Kami pertama kali bertemu dengan Dr Mahathir awal tahun ini untuk membincangkan mengenai Islam dan perlembagaan apabila beliau menyentuh isu perubahan dalam kepimpinan.
"Saya membalas dengan berkata: apa yang membuatkan beliau terfikir menggantikan Najib boleh membawa kebaikan? Pada waktu itu, Muhyiddin masih lagi Timbalan Perdana Menteri," katanya kepada The Star Online pada Ahad.
Tawfik berkata konfrontasi berlaku di kalangan mereka pada pertemuan itu apabila Dr Mahathir mengkritik Najib mengenai penglibatannya dalam kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mendorong beliau menunjukkan kegagalan bekas perdana menteri itu.
Beliau turut mendedahkan satu mesyuarat berlaku bersama Muhyiddin pada Oktober, tiga bulan selepas bekas timbalan perdana menteri itu digugurkan dari Kabinet.
"Ia mesyuarat pertama kami dengan Muhyiddin dan terdapat 12 daripada ahli kami (G25) di sana. Beliau bertanya kepada kami bagaimana dapat membantu 'pergerakan' yang boleh disertai G25.
"Kami beritahu beliau bahawa kami tidak fikir beliau dan Dr Mahathir adalah individu yang sesuai untuk menentang Najib kerana mereka membawa bagasi bersama.
"Dari segi kredibiliti, bagaimana mereka boleh menggambarkan diri mereka untuk menjadi lebih baik?," kata Tawfik.
Beliau berkata kumpulan tersebut bertemu dengan Dr Mahathir buat kali kedua pada petang 12 Oktober selepas bekas perdana menteri itu mengadakan sidang akhbar dengan beberapa veteran Barisan Nasional (BN) termasuk Muhyiddin untuk membidas penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap pengkritik politik.
"Empat daripada kami menghadiri mesyuarat itu di mana Dr Mahathir bertanya sekiranya G25 bersedia untuk membuat kenyataan bersama dengan sekumpulan masyarakat Cina untuk bercakap mengenai kebimbangan terhadap keyakinan dalam perniagaan dan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Kami berkata tidak mahu menjadikan ia perkara bersifat perkauman - di mana sekumpulan Melayu dan Cina bergabung. Bagaimana pula dengan kaum lain?," soalnya.
Tawfik berkata sebaliknya G25 mencadangkan membawa Malaysia Timur dan mendekati isu ini sebagai kuasa negara serta meneroka idea majlis perundingan negara yang diilhamkan adik Najib, Datuk Seri Nazir Razak.
Katanya, G25 masih menganggap Najib sebagai individu terbaik untuk memimpin negara kerana beliau adalah seorang yang bersederhana secara semula jadi.
"Perdana Menteri dalam bahaya sekarang kerana elemen sayap kanan dalam kalangan Umno, dan mereka adalah orang yang menyekat pendirian bersederhana beliau," katanya.
Bagaimanapun, kem Muhyiddin dan Dr Mahathir tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen mengenai perkara ini.
-mstar

Monday 2 November 2015

Pelakon Malaysia Kena Sihir Hidapi Busung


PETALING JAYA: Pelakon Emma Akma mendedahkan dia baru sahaja kembali sihat selepas hampir setahun menderita penyakit busung akibat perbuatan sihir.

Emma atau nama sebenarnya Emma Akma Yunus, 46, berkata, pada mulanya dia sangkakan sakit perut yang dialami adalah disebabkan penyakit Cist, namun selepas berubat secara tradisional di beberapa tempat, barulah dia tahu, ada pihak yang 'menghantar' sihir kepadanya.


"Penyakit ini mula serius sejak Oktober tahun lalu dan doktor mengesahkan saya hidap penyakit Cist dan perlu melakukan pembedahan dengan segera.

"Memandangkan tak cukup wang, saya tangguh dahulu. Sementara itu, macam-macam cara saya cuba untuk mengubati penyakit ini termasuklah cara tradisional dan moden. Namun tiada perubahan.


"Sehinggalah saya berjumpa dengan seorang pakar dalam ubatan tradisional, penyakit itu dapat disembuhkan dan perut saya kembali normal. Sukar dibayangkan keadaan ketika itu badan menjadi lemah, sehingga sukar untuk bangun," katanya kepada mStar Online.

Menerusi Kamus Dewan, busung ialah penyakit gembung perut yang berisi air akibat sesuatu penyakit.

Sementara itu, Emma berkata, sehingga kini dia tidak tahu siapa yang 'menghantar' sihir itu dan pada masa sama enggan tahu individu berbuat demikian.

Malah Emma mengambil pendekatan untuk hadkan beriadah bersama rakan-rakan dan lebih banyak menghabiskan masa di rumah.

"Saya ada juga tanya kepada mereka yang mengubat saya. Tetapi mereka cuma berkata ramai yang cuba mengenakan saya.

"Jadi sejak sihat beberapa bulan lalu, saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan kurangkan pergaulan dengan rakan-rakan. Maklumlah, di dalam industri ini, dalam yang suka, pastinya ada yang membenci.

"Apa yang saya dedahkan di sini di harap dapat diambil iktibar oleh orang lain. Sebab kita tidak tahu, orang yang paling dekat dengan kita mungkin orang yang paling benci kita," ujarnya.

Ditanya mengenai perkembangan karier lakonan pula, kata Ekma, sejak menderita sakit busung itu dia tidak lagi menerima sebarang tawaran lakonan.

"Sepanjang setahun ini, sekali sahaja saya berlakon dalam sebuah drama, itu pun watak kecil. Mungkin mereka ingat saya masih sakit, mereka tak berani nak ambil saya berlakon.

"Sementara menunggu tawaran berlakon, saya banyak mengambil tawaran kerja sebagai pengacara majlis selain menganjurkan bengkel-bengkel kecantikan dan lakonan," tuturnya.

162 Mayat Mangsa Nahas Kapal Terbang Dibawa Balik

nahas pesawat russia 
2 NOV: Susulan nahas pesawat Russia yang terhempas di tengah Sinai semasa penerbangannya dari Sharm el-Sheikh ke St Petersburg Sabtu lalu, 162 mayat mangsa dibawa balik ke Russia oleh sebuah pesawat.


Menurut pegawai lapangan terbang, pesawat Ilyushin-76 berlepas dari ibu negara Mesir menuju ke Saint Petersburg.

Mayat adalah mangsa nahas Sabtu lalu membabitkan pesawat jenis Airbus A-321 yang membawa 224 orang yang mengorbankan kesemua mereka.
 
Sementara itu ekoran kejadian tersebut telah menyebabkan beberapa syarikat penerbangan utama mengambil keputusan untuk tidak menggunakan laluan di Sinai yang merupakan lokasi nahas.


Dua syarikat penerbangan terbesar di Eropah antara yang memutuskan perkara itu selepas tragedi mengorbankan seramai 224 orang.


Lufthansa dan Air France-KLM berkata, mereka tidak akan melakukan penerbangan di Semenanjung Sinai sementara menunggu penjelasan berhubung punca nahas.


British Airways berkata, ia akan terus membuat penerbangan merentasi kawasan itu, walaupun akhbar United Kingdom (UK), The Sun pada Ahad mendakwa syarikat itu secara berahsia memberitahu juruterbang untuk tidak terbang rendah di ruang udara Mesir.

-bnbbc