Featured Posts Coolbthemes

Tuesday 26 January 2016

Rasiskah Biro Tatanegara? Pengalaman Alumni Peserta.

Assalamualaikum w.b.t dan salam perpaduan.

Akhir-akhir ini tersebar di media sosial dan di dada-dada akhbar tentang cadangan "rebranding" atau penjenamaan semula Biro Tatanegara berikutan daripada desakan oleh ahli parlimen DAP Lim Kit Siang agar agensi peneraju patriotisme itu wajar di mansuhkan. 


Lim Kit Siang berpendapat bahawa Biro Tatanegara adalah sebuah agensi rasis dengan mengadakan siri kursus yang berteraskan kepada agenda Melayu dan Islam semata-mata.

Namun begitu, mengikut pandangan Ahli Parlimen Kepong yang juga daripada parti DAP, beliau yang pernah hadir ke program BTN menafikan dakwaan Lim Kit Siang dan menolak persepsi luar kononya BTN adalah agensi yang rasis sebaliknya bersetuju bahawa BTN adalah badan penting dalam membawa rakyat Malaysia agar lebih mempunyai semangat cintakan tanahair.

Hari ini, saya sebagai bekas peserta yang pernah mengikuti Kursus Bina Negara sebanyak tiga siri anjuran Biro Tatanegara Terengganu sewaktu bergelar mahasiswa rasa terpanggil untuk turut memberi pandangan dalam isu ini berdasarkan pengalaman saya sebagai Alumni Peserta Kursus BTN.

Saya bukanlah seorang ahli parlimen yang dipilih oleh rakyat seperti mana Lim Kit Siang ataupun MP Kepong yang ada kelayakan untuk memberi komen atau pandangan terhadap BTN, tetapi sebagai orang yang pernah hadir sebanyak tiga siri Kursus BTN di Terengganu mungkin ada sedikit asas untuk saya turut serta dalam kancah polimik BTN hari ini.

12 hingga 15 Februari 2009 bertempat di Kem Bina Negara Langkawi, Kedah. Ini merupakan kursus BTN pertama yang saya hadiri iaitu Kursus Bina Negara Asas Gabungan Mahasiswa Terengganu. Saya masih ingat nama Ketua Fasilitator saya iaitu Che Din. Mungkin saya boleh kongsikan apa dapatan saya sepanjang 4 hari 3 malam berkampung di kem tersebut.

Kami sebagai peserta telah disajikan dengan beberapa aktiviti iaitu Ceramah sebanyak 3 slot, Latihan Dalam Kumpulan sebanyak 7 sesi, perbarisan pagi dan sesi riadah waktu petang, sesi solat berjemaah dan kuliah. Mungkin wajar untuk saya kongsikan satu persatu apa yang saya pelajari dalam semua aktiviti yang disediakan oleh BTN ketika itu. (Apa yang saya masih ingat ler..)

CERAMAH PERTAMA.

Paling saya suka part ini adalah Penghulu yang kami lantik dalam keadaan yang gemuruh terpaksa melaporkan kekuatan peserta kepada penceramah jemputan. Tapi penghulu kami steady, dengan penuh yakin dan suara yang kuat beliau melaporkan kekuatan peserta kepada penceramah sebelum kami dibenarkan duduk. 

Tajuk ceramah pada ketika itu menjurus kepada Pendidikan Bumiputera. Penceramah membentangkan data serta fakta untuk menunjukkan betapa pada ketika itu tahap pendidikan bumiputera masih ditahap yang membimbangkan berbanding kaum lain. 

Dalam slot ini, penceramah bagitahu kami pendidikan sangat penting dalam kita nak bangunkan negara bangsa. Bumiputera perlu rajin sebagaimana kaum Cina yang sangat memberi penekanan dalam pendidikan. Penceramah kata tahun 2020 nanti baik orang Melayu, Cina, Kadazan, India dan sebagainya perlu duduk sama rendah berdiri sama tinggi dalam konteks pendidikan.

CERAMAH KE DUA.

Dalam ceramah kedua, penceramah banyak menyentuh tentang isu ekonomi dalam negara kita khususnya melibatkan kaum bumiputera. Penceramah kata "Kalau nak berjaya dalam ekonomi, kena contohi orang Cina. Rebut peluang bukanya tunggu rezeki datang bergolek". 

Penceramah sentuh tentang perkara 153 dalam perlembagaan persekutuan yang menyentuh tentang kedudukan istimewa orang Melayu, Bumi Sabah Serawak dan kepentingan Sah Kaum yang lain. Penceramah cakap, perkara 153 adalah peluang yang telah kerajaan wujudkan untuk semua bangsa, tapi yang bijak rebut peluang adalah bangsa Cina. Melayu kurang rajin berbanding orang Cina dalam bab ekonomi. 

Kalau orang Cina kaya, jangan pula kita salahkan mereka tetapi salahkan diri sendiri yang tidak mahu berusaha. Penceramah siap tunjuk data dan fakta pecahan mengikut kaum rakyat Malaysia masuk pusat serenti, kes sosial dan banduan. Dominanya adalah bangsa Melayu. 

CERAMAH KE TIGA

Ceramah ke tiga banyak menyentuh tentang politik negara. Tidak dinafikan adalah perkataan nama-nama parti seperti PAS, BN, UMNO, DAP, PBB, SPP dan lain-lain. Tetapi yang disentuh adalah fakta yang berasas. Sejarah piliharaya juga turut dikongsi. Paling saya suka sejarah piliharaya petama negara kita bila mana orang Melayu, Cina dan India bersatu hati di bawah parti perikatan bagi membentuk sebuah kabinet untuk menuntut kemerdekaan. 

Melalui sesi ceramah inilah saya memahami apa itu 2/3 kerusi parlimen, majoriti mudah, konsep perkongsian kuasa antara kaum dalam negara, Struktur pentadbiran negara, isu keselamatan negara dan beberapa lagi yang berkaitan dengan politik.

Baru saya jelas rupanya politik ini sangat meluas dan tidak hanya tertakluk kepada parti-parti yang wujud dalam negara ini. Baru saya faham kenapa perlu sebagai rakyat Malaysia mengundi untuk memilih pemimpin dan kerajaan. Tidak pula penceramah doktrin kami suruh masuk ahli UMNO. Yang ditekankan oleh penceramah dalam slot ini, berpolitik secara matang tanpa sebarang huru hara, wajib daftar sebagai pengundi dan turun mengundi.

Dalam ketiga-tiga sesi ceramah ini, kami sebagai peserta diberi peluang untuk berdialog dengan penceramah dan saya secara peribadi sangat berpuas hati dengan maklumat yang telah dikongsikan kepada kami.

Selesai bab dapatan dalam sesi ceramah, saya nak beralih kepada sesi Latihan Dalam Kumpulan. Harap anda terus tekun untuk membaca.

LDK 1

Kami dipecahkan kepada kumpulan kecil. Tak salah saya, satu kumpulan ada 12 ke 13 orang peserta dan kami disediakan seorang fasilitator. Saya masih ingat nama fasi (Hj Salmonafiki) orang Besut.

Apa yang berlaku? Fasi suruh kami senaraikan terlebih dahulu peraturan kumpulan yang kami rasa perlu untuk menjadikan kumpulan kami antara yang terbaik. Setiap orang bagi pandangan antaranya tepati masa, etika pakaian kena kemas, jangan tidur, jangan curi tulang, jangan bocor rahsia kumpulan, dan beberapa lagi.

Kemudian kami di arahkan buat bendera kumpulan, nama kumpulan dan logo kumpulan. Maka bergotong royonglah kami semua. Saya sedikit kreatif maka ditugaskan untuk lakar logo pada bendera.

Kemudian, kami bentangkan hasil tersebut kepada fasi beserta rasional logo, bendera dan moto. Selesai bentang, maka bermulalah sesi suai kenal antara kami walalupun kami memang dah kenal secara kasar dari awal.

Paling tidak suka, ada pula kawan yang siap nangis-nangis story pasal keluarga mereka. Saya jiwa kental maka kurang menangis walaupun dalam hati sebak juga dengar kisah kawan-kawan. 

Apa kami belajar dalam sesi ini? Fasi kami pun buatlah sedikit rumusan antaranya:

1. Sebagai rakyat Malaysia, kita mestilah hormat undang-undang negara dan perlembagaan persekutuan. Seperti mana kita rasa pentingnya peraturan kumpulan yang kita senaraikan sama-sama tadi, begitulah pemimpin terdahulu merasakan pentingnya peraturan perlu diwujudkan dalam negara kita untuk tempoh masa panjang. Fasi suruh kami bayangkan kalau di rumah kita ibu bapa tidak wujudkan peraturan, apa akan berlaku? (saya terdiam).

2. Identiti negara itu penting untuk kita terus pertahankan termasuk bendera, nama Malaysia dan sebagainya. Kita tadi cuba buat bendera yang paling cantik untuk kumpulan, kita buat logo paling kreatif sebab apa? Kita nak tunjuk pada kumpulan lain kita adalah yang terbaik dan orang kenal kita berdasarkan bendera, nama kumpulan atau logo. Begitulah kita mahukan untuk Malaysia.

3. Apapun yang penting kita kena kenal asal usul kita. Ada dikalangan kita berasal dari orang susah. Kita pernah jatuh dan kita terus bangun. Sejarah kehidupan kita ada hitam dan putih. Begitu juga negara kita. Ada sejarah tersendiri. Pernah di jajah dan pernah berlaku pergaduhan kaum. Kita tidak mahu sejarah ini berulang. Kenal sejarah untuk kita kenal negara kita.

Sekian untuk LDK 1... jom kita terus baca apa yang berlaku pada LDK 2.

LDK 2

Kami disediakan dengan gambarajah seolah-olah itu adalah Kota Melaka. Terdapat banyak watak manusia dalam gambarajah tersebut. Tugas kami secara individu adalah berikan nilai-nilai yang mungkin terdapat pada watak-watak kartun yang disediakan. 

Maka dengan tekun kami menyenaraikan nilai sambil ada yang meniru kawan sebelah. Banyak juga nilai positif dan negatif yang saya dapat senaraikan berdasarkan andaian peribadi.

Setiap daripada kami perlu bentangkan di hadapan untuk kawan-kawan yang lain dengar. Maka keluarlah nilai-nilai antaranya rajin, kerjasama, dengki, tamak, menindas, membelot, suka membantu, dan sebagainya.

Selesai kami semua bentangkan, fasi tanya kami "daripada semua nilai yang kita senaraikan, nilai mana yang ada dalam diri kita masing-masing?" fasi tak suruh kami jawab, tapi fikirkan. (hermmmmmm).

Fasi buat sedikit rumusan.. Kalau negara nak maju, kehidupan berasaskan banyak kaum dan agama, kita kena buang nilai negatif seperti iri hati, dengki, belot, menindas...sebaliknya kita kena tanam nilai positif dalam diri kita seperti bantu membantu, kerjasama, rajin dan lain-lain.

Nilai positif yang kita senaraikan tadi, kita akan aplikasikan dalam kumpulan kita sehingga tamat kursus kata fasi pada kami. (kami sebulat suara kata setuju!!!).

Selesai LDK 2. Masih tekun membaca? Hu Hu Hu.. Kalau penat membaca tidak mengapa.. saya akan tetap terus menulis... Jom ke LDK 3.

LDK 3

Aktiviti ini sangat best. Jalan secara kumpulan sambil tutup mata. Ketua kumpulan hanya bagi isyarat bunyi tanpa menggunakan suara mulut.

Waktu ini fasi ada yang cuba halang kami untuk berjalan. Siap ada yang siram kami dengan air paip. Fasi cuba menyamar jadi ketua kumpulan untuk mengaburi kami.

Ada dikalangan kami berjalan tutup mata, mulut bisu dan pegang barang amanah berupa belon yang di isi air. Fasi siap pecahkan belon tersebut. Aktiviti berjalan sambil pejam mata dijalankan diluar dewan.

Apa motif? Nak kenakan kami? Selesai buat aktiviti, fasi panggil ketua kumpulan untuk kongsi pengalaman. Fasi tanya Ketua kami "senang jadi ketua?". Jawapan ketua "susah!".

Fasi buat rumusan. Pemimpin dan orang yang dipimpin perlu bekerjasama dalam membina negara bangsa. Berada di bawah sebagai rakyat terlalu mudah untuk kita selalu salahkan pemimpin, hakikatnya menjadi seorang ketua bukanlah suatu perkara yang mudah inikan menjadi pemimpin kepada sebuah negara.

Ditambah lagi dengan anasir luar seperti mana fasilitator ganggu perjalanan kami tadi. Bila diberi amanah, bukan mudah untuk menjaganya seperti mana belon-belon yang telah pecah tadi.

Aktiviti cukup simple tapi sarat dengan mesej yang sangat berguna dalam konteks kenegaraan. Done LDK 3. Jom lompat ke LDK 4.

LDK 4

Sesi ini memerlukan daya ingatan yang cukup kuat. Kenapa? Sebab kami perlu hafal kenyataan yang panjang dan perlu sampaikan kepada ahli kumpulan kami yang lain. 

Saya pilih untuk jadi orang pertama membaca kenyataan tersebut dan ingat kenyataan itu. Tugas saya sampaikan kepada orang kedua dan orang kedua sampaikan kepada orang ketiga dan sehinggalah kepada orang yang terkahir.

Apa yang berlaku diakhirnya? Orang terakhir perlu baca sekuat-kuatnya mesej yang mereka dapat. Ternyata, mesej yang dia dapat 70 hingga 90 peratus tidak tepat.

Apa rasionalnya aktiviti tersebut? Fasi maklumkan kepada kami, inilah ancaman yang bakal dihadapi oleh mana-mana negara suatu masa nanti. Khabar angin yang tidak berasas. Logiknya ada apabila hari ini perkembangan media sosial menyebabkan ramai dikalangan kita mudah mendapat berita palsu yang tidak tepat.

Fasi masa itu siap "sound" orang terakhir, kenapa tidak tanya pada orang pertama apa mesej yang sebenar? Siap ada yang jawab, kami nak jadi kumpulan yang pertama selesaikan tugasan. Hari ini apa yang berlaku? Ramai yang cuba menjadi orang pertama yang sebarkan mesej dalam sosial media walaupun mesej itu belum ada kesahihanya.

Sangat mendalam sesi ini weh... elakkan jadi orang yang suka menyebarkan berita palsu dan fitnah!. Selesai LDK 4. Meh baca LDK 5.

LDK 5 dan 6

Sesi ini agak santai tapi banyak ilmiahnya. Sesi ini kami kembara sambil menghafal beberapa perkara dalam perlembagaan. Seingat saya, ada lebih kurang 6 Check Point yang kami kena cari. Setiap CP fasi akan minta kami hafal perkara yang ada dalam perlembagaan. 

Masih saya ingat antaranya menyentuh tentang perkara 152, 153, 14,181, dan 3. Kami diberi penerangan secara terperinci oleh fasi tentang semua perkara ini.

Perkara ini banyak menjadi isu di luar mungkin ramai di antara kita beranggapan semua perkara tersebut bersifat "double standard" terhadap bangsa lain selain Bumiputera. Tetapi jika di amati, perkara tersebut menjaga hak semua pihak dan merupakan kunci kepada keamanan negara kita.

18 Tahun saya hidup, tidak pernah ambil kisah tentang semua perkara tersebut, tetapi dengan hadirnya ke Kursus BTN, paling tidak saya tahu yang buku perlembagaan malaysia hanya RM10.00. Sempoi dan penat sesi ini. Done!


LDK 7 

Sesi ini adalah sesi yang terakhir. Sesi ini semua kumpulan perlu berkumpul dalam dewan besar. Awalnya kami diberi soalan kuiz. Semua kumpulan berkejar-kejar menulis jawapan untuk menadapatkan markah yang paling tinggi sebab fasi kata malam ini malam penentuan untuk mencari juara.

Semangat betul masing-masing kumpulan. Siap ada yang bertolak-tolak sewaktu nak serahkan kertas jawapan. Maklumlah... nak jadi juara weh... 

Selesai kuiz, Fasi umum kumpulan yang mendapat markah yang paling tinggi. Hermmm.. Kami antara kumpulan yang tercorot. Tapi fasi kata sabar!! Ada tugasan yang terakhir.. Kumpulan mana yang paling pantas selesaikan tugasan ini, secara automatik akan jadi juara.

Awalnya, bila dapat sahaja tugasan, semua kumpulan "blur" tak tahu apa nak buat. Rupanya semua kumpulan perlu bersatu untuk siapkan tugasan yang terakhir itu. Kami perlu cantumkan bahan yang diberikan untuk bentukkan JALUR GEMILANG.

Berjaya hasilkan Jalur Gemilang yang agak besar dan kami semua tanpa mengira dari kumpulan mana bersorak gembira sebab berjaya laksanakan tugasan yang terkahir bersama-sama. Kami raikan kejayaan itu dengan nyanyian negaraku dan lagu warisan Sudirman. (weehhh... ada juga yang nangis termasuk aku). Bangga weh tengok kawan-kawan berpegang bahu. Sebelum ni kami bersaing, tapi malam ni kami bersatu.


Rumusan fasi? Aku malas kongsi di sini sebab anda semua boleh fikir apa yang perlu untuk wujudkan sebuah negara bangsa yang gagah dan perkasa.

Esoknya, awal-awal pagi kami bersiap-siap untuk pulang ke Universiti masing-masing. Pulau lagenda Langkawi menjadi saksi yang BTN bukanlah rasis di mata dan hati saya, tetapi BTN benar-benar mengajar saya untuk menjadi seorang warga negara yang patriotik. Gambar 3 sijil yang saya perolehi selepas mengikuti 3 siri kursus BTN.





Terima kasih buat En Ahmad Khairuddin BTN Terengganu, Hj Salmonafiki Fasi, dan seluruh warga BTN Terengganu kerana memberi peluang ini kepada kami. Ilmu ini tidak dijual di Pekan Kuah Langkawi melainkan di Kem BTN.

Akhir kalam, BTN bukan sahaja perlu "rebranding", tetapi perlu diperluaskan kepada semua lapisan masyarakat tanpa ada yang dikecualikan. Jangan hukum BTN sebelum anda hadiri sendiri KURSUS BINA NEGARA.

Sekian coretan dari

Alumni peserta Kursus BTN:
Asas 12-15 Februari 2009
Lanjutan 8-12 Jun 2009
Teras 11-14 Disember 2009

Alumni UMT sekarang Pegawai Jabatan Kerajaan.


p/s: Sebarang artikel atau maklumat yang mahu dikongsikan boleh email ke dialogmalaysia@gmail.com

Friday 11 December 2015

Pembahas PAU Dari Negeri Perak Kena "Booo".

Kenyataan wakil dari Perak mengenai Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat sorakan "Boo" daripada perwakilan yang mengikuti perbahasan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam ucapannya, Datuk Hamzah Mohd Kassim berkata, kejayaan dikecapi Umno pada hari ini "bukan kerana insan bernama Mahathir".
Kenyataan itu segera mengundang reaksi perwakilan di dalam dewan yang menyorak Hamzah.
Menyedari keadaan itu, Pengerusi Tetap Umno, Tan Sri Badruddin Amiruldin mengarahkan Hamzah menukar topik ucapannya.
"Sila ubah muka surat dan baca topik lain.
"Yang berlalu biarlah berlalu, yang penting kita pandang ke hadapan," kata Badruddin seperti dilaporkan portal Sinar Harian.
Hamzah dilaporkan kemudian mematuhi arahan Badruddin dan berucap mengenai isu lain.
Insiden itu menunjukkan Dr Mahathir masih mempunyai pengaruh besar dalam Umno.
Keadaan itu berlaku ketika bekas menjadi perdana menteri selama 22 tahun itu berseteru dengan Datuk Seri Najib Razak dan meminta beliau meletak jawatan.
Menjelang perhimpunan tahun ini Dr Mahathir menulis surat memberi ingatan kepada ahli akar umbi Umno bahawa jika Najib tidak diketepikan, parti itu mungkin akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang.
Para Rabu lalu Dr Mahathir juga menuduh Najib cuba merasuahnya, selain mengulangi serangan berhubung isu 1MDB dan dana bernilai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun persendirian perdana menteri.
Najib sudah menafikan sebarang salah laku dan mendakwa wujud pakatan untuk menjatuhkannya.
Perhimpunan Agung Umno masuk hari kedua hari ini.
-msiakini

Saturday 14 November 2015

Arul Kanda Sedia Bagi Penerangan Pada Rafizi Ramli.


Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy berkata dia bersedia memberi penerangan mengenai agensi pelaburan milik kerajaan yang dibebani hutang itu kepada sesiapa yang berminat, termasuk Setiausaha Agung PKR, Rafizi Rami dan Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua.
"Kami (1MDB) akan berjumpa dengan sesiapa saja yang mahu memahami lebih lanjut (tentang syarikat berkenaan), termasuk Rafizi dan Pua," katanya di seminar di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur hari ini.
Program itu diadakan untuk memberi penjelasan mengenai Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) serta Bajet 2016.
Arul Kanda berkata demikian sebagai tidak balas daripada cadangan seorang ahli Umno dalam sesi soal jawab.
Kata peserta itu, Arul Kanda patut menjemput ahli politik pembangkang yang kelihatan masih belum memahami isu 1MDB.

-msiakini

Thursday 12 November 2015

Tadika Di Malaysia Menyamar Untuk Sebarkan Dakyah Kristian.

IMG_20151111_092910

GOMBAK, Rabu – Bukit Aman mendedahkan terdapat penyebar dakyah Kristian yang menyamar seperti orang Muslim untuk mempengaruhi umat Islam di negara ini mengikut agama itu.
Pendedahan itu dibuat oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial, Cawangan Khas Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Awaluddin Jadid, semalam.
Beliau turut mendedahkan sekarang ini banyak tadika yang namanya kelihatan seperti Islam, tetapi secara realitinya bertujuan menyebarkan dakyah Kristian.
Berucap pada Seminar Pendedahan Ancaman Rencana Kristianisasi (SPARK) di Gombak, beliau berkata, tindakan menyembunyikan identiti mereka yang sebenar oleh penyebar dakyah Kristian menjadi satu ancaman utama kepada umat Islam di negara ini.
Beliau berkata, cara mereka menjalankan gerakan itu ternyata memberi kekeliruan kepada umat Islam dengan watak penyamaran yang menyerupai seorang Muslim sejati.
“Banyak modus operandi yang mereka gunakan contohnya memberi makanan, bantuan khidmat bencana alam, bantuan mulakan perniagaan, kewangan, sukan dan pendidikan percuma.
“Sekarang pun banyak tadika yang wujud adalah sumbangan daripada gereja untuk mereka sebarkan dakyah Kristian kepada kanak-kanak.
“Ia menjadi kebimbangan kepada kita sebab nama Tadika nampak Islam tapi realitinya tidak,” katanya.
Mengulas lanjut Awaluddin berkata, dianggarkan antara 300 sehingga 500 individu yang murtad masih aktif di negara ini.
“Apa yang paling membimbangkan ialah identiti mereka yang mengamalkan cara hidup liberal yang boleh mengelirukan kita,” katanya.
Beliau turut menggesa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk sama- sama merangka satu tindakan susulan bagi menghalang gerakan Kristianisasi di negara ini.
“Kebanyakan NGO gemar adakan demonstrasi atau bantahan bagi menentang sesuatu, tetapi tindakan itu tidak beri penyelesaian masalah.
“Lebih baik NGO berbincang dan berfikir apa tindakan susulan yang boleh menghalang masalah ini daripada terus serius,” katanya.

-ismaweb

Azmin Cagar Tanah Rakyat Buat Pinjaman Bank DEIG.


SHAH ALAM: Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) belum memutuskan sama ada perlu menjalankan siasatan ke atas Darul Ehsan Investment Group (DEIG), terutama membabitkan tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada salah sebuah anak syarikat kumpulan itu.
Pengerusi SELCAT Hannah Yeoh berkata pihaknya akan berbincang mengenai perkara itu bersama anggota jawatankuasa SELCAT sebelum membuat sebarang keputusan.
"Saya akan berbincang dengan anggota jawatankuasa SELCAT yang lain sama ada perlu menjalankan siasatan ke atas isu itu atau tidak. Perbincangan akan dibuat selepas tamat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jumaat ini," katanya kepada pemberita di lobi DUN, di sini Rabu.
Beliau diminta mengulas gesaan bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 6 November lepas, yang mahu SELCAT menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu DEIG terutama melibatkan dakwaan tawaran pinjaman itu.
Abdul Khalid dilaporkan berkata dalam siasatan itu, SELCAT mesti mengesahkan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau pelanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran, meskipun DEIG mengaku kewujudan tawaran pinjaman itu yang kemudiannya ditolak.
Pada Rabu lepas, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang dari Barisan Nasional (BN), Budiman Mohd Zohdi dalam satu sidang media menuntut Menteri Besar Mohamed Azmin Ali memberi penjelasan berhubung tindakan DEIG menerusi anak syarikatnya, DEIG Land Sdn Bhd (DEIG Land) yang didakwa menerima tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta daripada sebuah bank tempatan.
Budiman mendakwa pinjaman itu untuk mengambil alih dan melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) berjumlah RM424.7 juta.
ADUN Sungai Panjang itu juga mendakwa pinjaman berkenaan dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah yang melebihi jumlah pinjaman.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Operasi DEIG Soffian Affendi Aminuddin dilaporkan mengakui pernah memohon kepada bank untuk pinjaman itu dan menerima tawaran pinjaman berkenaan.
Bagaimanapun, Soffian Affendi berkata cadangan tawaran itu tidak diluluskan di peringkat lembaga pengarah syarikat DEIG. 
- BERNAMA

Wednesday 11 November 2015

Intai Gadis Sambil Melancap, Remaja Ditahan Polis.

Gambar hiasan
Seorang remaja lelaki yang dirakam mengintai seorang gadis sambil melancap di belakang sebuah rumah di Pandan Indah, Sabtu lalu, ditahan polis, malam semalam.
Perbuatan tidak senonoh pelajar kolej berusia 19 tahun yang dirakam dalam keadaan berbogel oleh kamera litar tertutup (CCTV) rumah berkenaan, kemudian dimuat naik ke laman sosial serta menjadi 'viral'.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Khairuldin Saad berkata remaja yang juga jiran gadis berkenaan berjaya ditahan kira-kira 10.30 malam.
"Soal siasat ke atas suspek dilakukan dan dia mengakui melakukan perbuatan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.
Khairuldin berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan iaitu perbuatan melakukan kelucahan melampau.
Berdasarkan rakaman video berkenaan, suspek dilihat mengintai gadis berkenaan melalui tingkap belakang rumah mangsa.
- Bernama

Komen Biadap, AC Mizal Dan M.Nasir Perlu Minta Maaf.

PETALING JAYA: Penyanyi Bienda menuntut pihak juri program realiti Gegar Vaganza 2 memohon maaf secara terbuka atas tindakan mereka yang mengaibkan ibunya, Sheeda dalam konsert minggu keempat, malam Ahad lalu.
Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlinda Razli, 30, berkata, komen yang diberikan oleh juri selepas persembahan itu disifatkan menjatuhkan maruah ibu dan keluarga mereka.
“Saya sangat terkejut dan kecewa mendengar komen yang diberikan, kalau ikutkan hati saya ingin sahaja menjerit kepada juri itu, tetapi fikirkan semula ia perkara yang tidak rasional.
“Tapi ia sangat keterlaluan dan mengaibkan ibu saya. Kenapa perlu persoalkan tentang umur dan rupa paras sedangkan ia adalah pertandingan nyanyian,” ujarnya kepada mStar Online, di sini, Selasa.
Bienda berkata demikian ketika diminta mengulas tentang pandangannya terhadap komen yang diberikan oleh juri jemputan iaitu Datuk M Nasir dan Datuk AC Mizal yang disifatkan telah memperlekehkan persembahan ibunya iaitu Sheeda.
Sheeda membawakan lagu Tiada Lagi bersama penyanyi Aweera dalam konsert ketiga program Gegar Vaganza 2 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada Ahad lalu.
Antara komen M Nasir iaitu “putera mencari princess tapi rupa-rupanya terjumpa dengan emak princess” dialog menjurus kepada memperlekehkan usia Sheeda yang mahu berlakon sebagai puteri raja.
Dalam pada itu, Bienda berkata, sebagai anak, sudah pasti dia terasa dan sedih apabila usaha ibunya untuk memasuki pertandingan tersebut tidak dihargai.
“Saya boleh katakan komen itu sebagai kurang ajar kerana mereka tiada rasa hormat kepada ibu saya yang bersusah payah memasuki pertandingan itu.
“Ia bukan sesuatu yang senang untuk dia bawa lagu-lagu yang bukan genre dangdut. Saya yakin lepas ini ramai artis yang takut untuk sertai pertandingan kerana komen yang diberikan bersifat menghentam peserta,” ujarnya.
Sementara itu, Bienda turut meminta orang ramai agar tidak terus menghina ibunya di laman sosial terutama di Instagram.
Katanya, perkara tersebut akan membuatkan ibunya bertambah sedih dan rasa hilang keyakinan diri.
“Saya tidak faham orang yang sering menhentam ibu saya di laman sosial, mereka fikir mereka sudah terlalu baik untuk berkata demikian.
“Saya tahu ibu saya bukan sedih tapi bukan kerana dia disingkirkan tetapi disebabkan komen dan ejekan yang keterlaluan pengguna laman sosial,” ujarnya.
Gegar Vaganza 2 bersiaran secara langsung di MBSA, setiap Ahad bermula 9 malam dan disiarkan di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
-mStar