Thursday 29 October 2015

Perbincangan Tertutup 100 Ketua Bahagian UMNO Mahu Singkir Muhyiddin.

(Sinar Harian) – Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mohd Yunus mengesahkan wujud gerakan menyingkirkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kelompok gunting dalam lipatan dalam Umno.
Beliau tegas menyatakan lebih 100 ketua bahagian Umno seluruh negara mengadakan perbincangan tertutup sebagai usaha menyingkir Muhyiddin dan kumpulannya dari parti itu.
“Pendapat peribadi saya, Tan Sri Muhyiddin perlu dipecat dan sekarang kita (Umno) dalam usaha mengumpul senarai nama ketua bahagian untuk menyokong penyingkiran berkenaan.
“Kalau saya di tempat Perdana Menteri dah lama saya pecat beliau (Muhyiddin) bukan setakat sebagai Timbalan Presiden Umno malah ahli Umno,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau menyifatkan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terlalu berlemah-lembut  dan tidak sampai hati telah menyebabkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu agresif menentang pentadbirannya.‎
Jamal bagaimanapun tidak menyangka gerakan senyap ketua Umno bahagian ini telah pecah kepada media.
“Saya sudah lama mendesak Muhyiddin untuk dipecat daripada kerajaan mahupun parti.
“Lihat sekarang gelagat beliau, sebab itu kita cuba kumpul sokongan untuk keluarkan Muhyiddin daripada parti dan posisi itu diganti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz hanya menyarankan agar pucuk pimpinan Umno mengambil tindakan disiplin terhadap Muhyiddin berdasarkan kepada tindak tanduk beliau sejak kebelakangan ini.
Difahamkan, beberapa laman sosial telah diviralkan mengenai kempen ini yang dikatakan dilakukan melalui aplikasi Instagram.
Laman sosial Johor Bangkit, misalnya telah mendakwa terdapat 140 ketua bahagian bersetuju untuk melakukan tindakan menyingkir bekas Timbalan Perdana Menteri itu termasuk mendapat lima sokongan di Johor, sementara dua lagi tidak melayan kempen berkenaan.
Dalam kenyataan laman sosial itu turut mendakwa punca mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini terpaksa dibatalkan untuk membolehkan mereka mempunyai masa kumpulkan nama ketua-ketua bahagian yang lebih banyak bagi menjayakan komplot tersebut.
Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment